Blog

Pendaftaran harta intelek di Malaysia – apa yang berlaku dengan Restoran Shell Out?

Pendaftaran harta intelek di Malaysia

Kesedaran tentang peri pentingnya perlindungan harta intelek di kalangan usahawan di Malaysia adalah sesuatu yang tidak dapat lari dari diperbincangkan, kerana masih ada segelintir usahawan yang alpa ataupun ambil mudah akan soal ini. 

Terlebih dahulu, adalah lebih baik untuk kita mengetahui akan maksud harta intelek dan jenis-jenisnya. Dalam bahasa mudah, harta intelek membawa maksud sesuatu yang tercerna hasil dari pemikiran intelek dan dimiliki secara sah dari segi undang-undang sebagai ‘harta’ seseorang ataupun sesebuah organisasi. Terdapat enam jenis harta intelek, yakni: 

1. Paten
2. Cap Dagangan
3. Reka Bentuk Perindustrian
4. Petunjuk Geografi
5. Hak Cipta
6. Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu

Kali ini kita akan berbincang secara santai mengenai Cap Dagangan (Trade Mark), yang merupakan sebuah ‘tanda’ yang membezakan barangan dan perkhidmatan dari seorang peniaga dari yang lain. Tanda ini merangkumi perkataan, logo, gambar, nama, huruf, nombor atau gabungan yang disebutkan tadi.

Minyak angin ‘cap parang’, susu ‘cap cawan’, lampin ‘cap manja’, adalah antara contoh Cap Dagangan. Setelah ianya didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (juga lebih dikenali dengan akronim ‘MyIPO’), adalah salah untuk pihak menggunakan cap tersebut dalam apa cara sekalipun tanpa izin dari empunya cap tersebut. 

Dan antara kes yang popular, ialah kes yang berkaitan dengan Restoran Makanan Laut Shell Out. 

Penulis percaya ramai antara kita pernah makan bersama keluarga di restoran ini, ataupun di restoran-restoran lain yang menghidangkan juadah dan cara berhidang yang sama. Ini kerana Restoran Makanan Laut Shell Out dipercayai yang pertama seumpanya di negara ini yang membawa konsep makan makanan laut berhidang tanpa pinggan. Macam yang kita semua tahu, segala lauk-pauk dan nasi dilambakkan je atas meja yang telah dilapik dengan alas bersih terlebih dahulu. 

Konsep berhidang sebegini, setelah ianya mula diperkenalkan, mula menjadi tular dan popular dek keunikannya. Jadi tidak menghairankan bila konsep yang serupa turut diikuti oleh pesaing-pesaingnya.
Akan tetapi, jenama ‘Shell Out’ itu sudah menjadi begitu sinonim dengan konsep makan sebegini, sehinggakan restoran lain pun turut menyelitkan perkataan ‘Shell Out’ tidak hanya pada nama restoran mereka, tetapi pada menu, iklan dan sebagainya. Makan ala-Shell Out sudah mula mendapat tempat di pasaran tempatan.

Tentunya perkara ini mendatangkan ketidakadilan kepada syarikat asal yang telah bertungkus lumus membangunkan jenama ‘Shell Out’ tersebut. Dilaporkan bahawa setelah jenama Shell Out dengan jayanya didaftarkan dengan MyIPO pada Disember 2016, syarikat itu juga mengambil tindakan susulan dengan mengheret ke mahkamah beberapa syarikat pesaing yang menggunakan jenama Shell Out tanpa izin. Dan selaku pemilik jenama yang sah, tentunya mereka berjaya dalam saman mereka sehinggakan para pesaing yang ingkar terpaksa menarik balik penggunaan jenama itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Penulis berharap kes ini menjadi pengajaran kepada para pembaca terutamanya para usahawan di luar sana. Usahakan agar perniagaan anda menjadi unik, perahkan segala serat kreatif di minda untuk membina jenama sendiri. Dan setelah itu, jangan lupa untuk mendaftarkannya dengan MyIPO. Kerana dengan itu ianya sudah menjadi harta intelek anda, dan anda mempunyai hak eksklusif bukan sahaja untuk menggunakan jenama anda, tetapi juga menghalang pihak lain daripada ‘hijack’ harta intelek anda!

Share Post: