Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) – 6 jenis perlindungan harta intelek untuk para usahawan di Malaysia

Masih ramai para usahawan di Malaysia yang tidak memahami, ataupun menghargai akan peri pentingnya perlindungan harta intelek untuk perniagaan mereka. Terdapat satu laporan yang menyebut Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), yang merupakan sebuah badan pihak berkuasa negara, menyarankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) segera mendaftarkan harta intelek masing-masing bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Ketua Pengarahnya Datuk Shamsiah Kamaruddin berkata gesaan itu dibuat kerana PKS di negara ini masih kurang kesedaran mengenai kepentingan untuk mendaftarkan harta intelek berbanding syarikat-syarikat besar.

Sebagai seorang usahawan, bayangkan jika anda telah berusaha keras dengan segala penat lelah membangunkan produk atau jenama anda, tetapi kelak anda dapati usaha anda telah diciplak oleh syarikat lain yang mengaut keuntungan hasil daripada daya cipta anda. Ini tidak adil, bukan? Sebab itulah pentingnya anda lindungi harta intelek anda. Harta intelek bermaksud apa yang tercerna hasil dari pemikiran kreatif anda dalam bentuk produk, logo, jenama, rekacipta dan sebagainya.

Jadi apa jenis-jenis perlindungan yang Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sediakan? Ada ENAM kesemuanya, iaitu:

1) PATEN/PERBAHARUAN UTILITI

Paten adalah satu hak eksklusif yang dianugerahkan untuk suatu rekacipta, sama ada ia adalah satu produk atau satu proses untuk melakukan sesuatu yang baru atau penyelesaian teknikal ke atas sesuatu masalah. Contohnya, mesin mencucuk daging untuk pembuatan satay.

Manakala perbaharuan utiliti adalah hak eksklusif yang diberikan terhadap suatu rekacipta kecil yang tidak memerlukan ujian langkah merekacipta sebagaimana yang diperlukan untuk mendapat paten. Contohnya, jika anda telah membuat inovasi tambahan kecil ke atas mesin mencucuk daging satay yang sudah dipatenkan, anda hanya perlu membuat perlindungan tambahan ke atas inovasi tersebut tanpa perlu melalui proses untuk mempaten semula. 

2) CAP DAGANGAN

Cap Dagangan ertinya apa-apa tanda yang boleh dinyatakan secara grafik yang boleh membezakan barang-barang atau perkhidmatan satu perusahaan daripada perusahaan-perusahaan yang lain. Tanda itu termasuklah apa-apa huruf, perkataan, nama, tandatangan, angka, logo, jenama, tajuk, label, tiket, bentuk barang-barang atau bungkusannya, warna, bunyi, bau, hologram, kedudukan, urutan gerakan atau apa-apa gabungannya. Cap Dagangan dalam Bahasa Inggeris juga disebut sebagai ‘trademark’.

3) REKA BENTUK PERINDUSTRIAN

Reka Bentuk Perindustrian ialah ciri bentuk, tatarajah, corak atau hiasan yang digunakan pada sesuatu barang melalui apa-apa proses atau cara perindustrian, iaitu ciri yang ada pada barang siap, merupakan ciri yang menarik dan dinilaikan dengan pandangan mata. Contohnya, anda telah mereka suatu bentuk kotak, bekas atau botol untuk pembungkusan yang unik yang tiada atau tidak pernah lagi digunakan oleh mana-mana syarikat lain. Anda boleh mendaftarkannya untuk perlindungan. Reka Bentuk Perindustrian dalam Bahasa Inggeris juga disebut sebagai ‘industrial design’.

4) PETUNJUK GEOGRAFI

Petunjuk geografi adalah tanda yg digunakan ke atas sesuatu produk kerana produk tersebut mempunyai kualiti dan reputasi yang boleh dikaitkan dengan kawasan berkenaan. Contohnya, kopi ‘Tenom’, satay ‘Kajang’ dan sebagainya. Petunjuk Geografi dalam Bahasa Inggeris juga disebut sebagai ‘Geographical Indications’. 

5) HAK CIPTA

Hak cipta adalah perlindungan yang diberikan kepada penulis, pemilik hak cipta dan pelaku tertakluk di bawah Akta Hak Cipta 1987. Contohnya, tulisan novel, tulisan lirik lagu, lukisan komik dan sebagainya. Hak Cipta dalam Bahasa Inggeris juga disebut sebagai ‘Copyright’.

6) REKA BENTUK SUSUN ATUR LITAR BERSEPADU

Rekabentuk susun atur litar bersepadu adalah suatu susunan tiga dimensi unsur-unsur sesuatu litar bersepadu yang mengandungi sebahagian atau semua unsur-unsur hubungan litar bersepadu atau keseluruhan susunan tiga dimensi disediakan untuk tujuan persediaan bagi proses perkilangan.

Okay, ini memang agak teknikal sedikit untuk pemahaman pembaca yang mungkin tidak berpengalaman dalam bidang pengilangan. Tapi dalam bahasa mudahnya, jika anda merupakan pemilik kilang, tak kira kecil atau besar, dan anda telah dengan jayanya mencipta motherboard (papan induk) atau juga papan litar (circuit board) sebagai sebahagian daripada mesin pengilangan, ya, anda boleh mendaftarkan hak rekacipta ini.

Baiklah, penting juga dijelaskan di sini bahawa tindakan mendaftarkan harta intelek anda dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bukanlah suatu jaminan mutlak bahawa harta intelek anda tidak akan diciplak atau ditiru. Tidak. Tetapi, sekurang-kurangnya jikapun ianya berlaku, anda mempunyai pilihan yang sah dari segi undang-undang untuk mengambil tindakan lanjut. Tidak kira kecil atau besar syarikat, pendaftaran harta intelek adalah penting kerana ia merupakan milik atau hak eksklusif bagi membolehkan pihak terbabit mendapatkan bayaran royalti ataupun pampasan jika digunakan pihak lain. 

Sudah belajar sesuatu? Proses untuk berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) ni tidaklah sesukar atau memakan kos yang terlalu tinggi seperti sangkaan umum. Tetapi jangan risau, kami di Primus IP bersedia dengan tangan terbuka untuk membantu anda mencapai objektif untuk melindungai hak harta intelek anda dengan bantuan yang cukup profesional.

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share

Coming soon

Intellectual Property Seminar

This event will help you to understand the importance of protecting your intellectual property. Come and learn from our team and also industry experts for an engaging session not to be missed.

© 2020 Primus IP Sdn Bhd. All rights reserved.

Primus IP Sdn Bhd
(CR: 1098049P)

Headquarters
B-2-17, Kelana Square Jalan SS7/26, Kelana Jaya 47301 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

Primus IP LLC
(EN: 6528116)

North America Office
Suite 419 Monroe St Fl 2 Philadelphia PA 19147 United States of America.

Office: +603-76 119 119

Mobile/WhatsApp: +6011-5932 1618